Permintaan Wanita tidak sepatutnya berlaku

15 Okt, Kuala Lumpur - Semua pihak perlu bersikap matang untuk menentukan kedudukan pemimpin wanita baik dalam parti mahu pun kerajaan berdasarkan kebolehan mereka.
Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, seperti mana kaum lelaki, wanita juga menghadiri mesyuarat dan sebagainya.
Katanya, wanita juga bekerja keras membantu parti menjayakan agenda termasuk untuk menang dalam pilihan raya.
“Sebaliknya yang mendapat jawatan adalah kaum lelaki sahaja.
” Setelah lebih 60 tahun UMNO wujud, perkara tentang memperjuangkan kedudukan wanita di dalam parti tidak sepatutnya timbul lagi.” Katanya ketika ditemui di perhimpunan Agung UMNO disini hari ini.
Azalina yang merupakan satu-satunya ketua UMNO Bahagian dari kalangan wanita berkata, beliau sentiasa menyokong usaha Wanita UMNO untuk mendapatkan hak yang sama rata dalam parti atau kerajaan kerana yakin ramai yang layak sama seperti kaum lelaki.
Beliau yang merupakan bekas Ketua Puteri UMNO berkata, untuk mencapai matlamat itu perlu ada hubungan yang lebih sistematik di antara Wanita UMNO dan Puteri UMNO.
“Apabila hubungan menjadi akrab, maka jurang politik akan berkurangan, Kalau kita tengok di dalam Pemuda UMNO, mereka ada hubungan yang sistematik dan ramai pemimpin parti lahir daripada pergerakan itu,” katanya.
Mengulas mengenai ucapan dasar Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO katanya, ia membawa satu era perubahan kepada parti.
Bekas yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut menjelaskan, beliau melihat Perdana Menteri menerima hakikat bahawa UMNO perlu berubah.
“Saya lihat beliau (Najib) menerima hakikat bahawa UMNO perlu berubah dan faham bahawa isu-isu yang dihadapi parti adalah realistic dan semua wajib berubah,” katanya.
Azalina yakin perubahan yang dilakukan UMNO itu akan diterima sepenuhnya oleh orang melayu dan rakyat Malaysia.


































